Lelaki maut, kereta terjunam bawah jambatan di ketinggian 10 meter

LocalCars
21 Jul 2025 • 10:51 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke bawah jambatan dalam kejadian di Jalan Kionsom, Kampung Kitobu, Inanam awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 pagi sebelum lapan anggotanya digerakkan ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang terbabas sendiri dan terjatuh ke bawah jambatan setinggi kira-kira 10 meter.

“Terdapat seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan. Operasi mengangkat mayat dilakukan segera sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Agustavia turut memaklumkan bahawa operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.03 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan kawasan tersebut selamat.