Tiga individu termasuk bayi maut nahas dua kenderaan

12 Mar 2026 • 6:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar tular menunjukkan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Khamis.

HULU SELANGOR – Tiga individu termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.45 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 9 pagi ketika sebuah motosikal dari arah Taman Widuri menuju ke Sungai Choh.

“Apabila sampai di simpang jalan, sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ibrahim berkata, akibat kemalangan itu penunggang motosikal berusia 25 tahun yang bekerja sebagai jurujual disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang wanita warga emas yang juga penumpang belakang kereta berusia 88 tahun turut disahkan maut di tempat kejadian.

“Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan yang dipangku oleh wanita itu mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta seorang lelaki serta wanita yang juga penumpang hadapan kenderaan itu berusia 60 tahun hanya mengalami cedera ringan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi MT Abu @ Ramli di talian 03-60641222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.