
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di jejambat menghala ke Luyang, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.33 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan.
Ketua Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.33 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan jalan raya membabitkan tujuh buah kenderaan dan sebuah motosikal.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux menggunakan peralatan khas penyelamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada pukul 7.55 pagi,” katanya.
Operasi membabitkan enam anggota BBP Lintas, selain bantuan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota KKM.
Mangsa, lelaki berusia 44 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN
The post Lelaki maut tersepit, kemalangan babit lapan kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.






