SANDAKAN - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum dia ditemui tersepit dalam kejadian di Batu 7 di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa, Chock Vui Heong, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.56 tengah hari.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari BBP Sandakan.
"Sebaik tiba di lokasi, sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max didapati terbabas dan masuk ke dalam longkang.
"Hasil pemeriksaan, terdapat seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
"Pasukan bomba turut membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.58 tengah hari," katanya.

