
GEORGE TOWN – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api dengan membakar sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Xpander, Mei lalu.
Tertuduh, S. Hari Ram, 39, bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kereta Mitsubishi Xpander berwarna hitam milik seorang lelaki berusia 34 tahun, di tempat letak kereta Blok 247, Taman Cemerlang, Jalan Perak di sini, kira-kira pukul 4.01 pagi, 3 Mei lalu,
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Darrshini memohon satu tarikh ditetapkan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes, dokumen berkaitan dan mendapatkan laporan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Pendakwaan turut menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat supaya dia tidak mengganggu saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 2 Disember ini bagi penyerahan fakta kes dan penetapan hukuman.
Pada 3 Mei lalu, media melaporkan lima kenderaan yang diletak di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Jalan Perak, di sini musnah dijilat api
Antara kenderaan terlibat adalah jenis Nissan Grand Livina, Mitsubishi Xpander, Perodua Myvi, van Toyota Hiace dan Proton Preve. -KOSMO! ONLINE
The post Lelaki mengaku bakar kereta penduduk appeared first on Kosmo Online.






