Lelaki mengaku bersalah bakar Mitsubishi Xpander

28 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki mengaku bersalah bakar Mitsubishi Xpander
Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan membakar sebuah kereta jenis Mitsubishi Xpander dalam kejadian kebakaran membabitkan lima kenderaan
Image from: Lelaki mengaku bersalah bakar Mitsubishi Xpander
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah membakar sebuah kereta jenis Mitsubishi Xpander dalam kejadian kebakaran membabitkan lima kenderaan di Jalan Perak, Mei lalu.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan membakar sebuah kereta jenis Mitsubishi Xpander dalam kejadian kebakaran membabitkan lima kenderaan di Jalan Perak, Mei lalu.

Tertuduh, S Hari Ram, 39 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Irwan Suainbon selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api terhadap sebuah Mitsubishi Xpander berwarna hitam milik seorang lelaki berusia 34 tahun dengan niat menyebabkan kerosakan.

**media[3691762]**

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4.01 pagi pada 3 Mei lalu di kawasan parkir Blok 247, Taman Cemerlang, Jalan Perak, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding sama, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi penyediaan fakta kes, dokumen berkaitan serta mendapatkan laporan rakaman kamera litar tertutup.

Darrshini turut mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana mendakwa tidak mempunyai penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat supaya dia tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Irwan menetapkan 2 Disember ini untuk penyerahan fakta kes dan penetapan hukuman.

Dalam kejadian pada 3 Mei lalu, lima kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Jalan Perak dilaporkan terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 pagi.

Kebakaran itu membabitkan Nissan Grand Livina, Mitsubishi Xpander, Perodua Myvi, van Toyota Hiace dan Proton Preve dengan tahap kemusnahan dianggarkan antara lima hingga 80 peratus.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved