
Kota Kinabalu: Seorang penganggur lelaki berusia 25 tahun dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan memiliki dadah membabitkan MDMA, methamphetamine dan ketamin selepas Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan membebaskan Victor Chin tanpa memanggilnya untuk membela diri selepas meneliti keterangan dan hujahan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Dalam keputusannya, hakim berkata selepas menilai keterangan secara maksimum, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chin bagi kesemua empat pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Chin didakwa memiliki 41.1 gram 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di sebuah unit di Beverly Hills Apartment, Penampang, pada jam 11.45 malam, 27 Mei 2024.
Kesalahan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga penjara seumur hidup serta sebatan sekurang-kurangnya 10 kali jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Chin didakwa memiliki 4.2 gram methamphetamine, juga dikenali sebagai syabu, di tempat dan pada masa yang sama.
Pertuduhan ketiga membabitkan pemilikan 135.2 gram ketamin manakala pertuduhan keempat berkaitan pemilikan 0.1 gram MDMA yang didakwa berlaku di lokasi dan pada masa yang sama.
Pihak pendakwaan memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan. Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan manakala peguam Luke Ressa Balang mewakili Chin.






