Lelaki naik angin penguat kuasa tangkap anjing, dakwa miliknya

13 Oct 2026 • 8:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki naik angin penguat kuasa tangkap anjing, dakwa miliknya

ISKANDAR PUTERI – Beberapa lelaki didakwa naik angin dan cuba menghalang operasi menangkap anjing yang dijalankan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Lima Kedai, di sini, selepas mendakwa haiwan berkenaan adalah miliknya.

Tindakan itu mencetuskan ketegangan ketika operasi dijalankan, sedangkan penduduk di kawasan berkenaan masih dihantui kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan lapan anjing semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, keadaan bagaimanapun berjaya ditenangkan olehnya tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau turut mempertahankan tindakan MBIP menjalankan operasi berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.

“Tindakan menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas disifatkan tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila operasi itu bertujuan menangani ancaman keselamatan yang membimbangkan penduduk.

“Persoalannya, jika benar anjing berkenaan milik dia, perkara itu sepatutnya diselesaikan melalui saluran yang betul dan bukannya dengan menghalang operasi pihak berkuasa,”katanya ketika ditemui ketika operasi berkenaan di Lima Kedai di sini hari ini.

Setakat ini, difahamkan belum ada laporan polis dibuat berhubung kejadian lelaki berkenaan didakwa menghalang operasi penguat kuasa itu.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan lapan anjing ketika bermain di taman permainan berhampiran flat perumahan murah di Lima Kedai, kira-kira pukul 3 petang.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata, leher, kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian berasingan kira-kira pukul 6 pagi pada hari sama, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut diserang sekumpulan anjing liar yang dipercayai sama di lokasi berkenaan.-KOSMO! ONLINE

The post Lelaki naik angin penguat kuasa tangkap anjing, dakwa miliknya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved