
KENINGAU: Polis merampas sebanyak 42 laras senapang angin bersama 456 kotak kecil peluru dan menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan senjata berkenaan tanpa dokumen atau permit sah di Kampung Sook, di sini, malam Ahad lepas.
Suspek berusia 50 tahun itu, seorang pekebun kelapa sawit, ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Erwansyah Abdul Basir berkata, pemeriksaan di sebuah stor yang ditunjukkan sendiri oleh suspek menemukan 42 laras senapang angin pelbagai jenama, lima beg senjata bercorak celoreng serta 11 kotak besar yang mengandungi 456 kotak kecil peluru.
Beliau berkata, suspek ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen atau permit yang sah bagi pemilikan senapang angin berkenaan, manakala semua barang tersebut dirampas untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan penjualan senapang angin bersama peluru kepada pembeli di sekitar daerah Keningau bagi mendapatkan keuntungan.
“Suspek mendakwa memperoleh bekalan berkenaan melalui urusan dalam talian daripada seorang lelaki dikenali sebagai Amir, warga Indonesia, yang diperkenalkan kepadanya oleh seorang lagi lelaki dikenali sebagai Ikon, juga warga Indonesia,” katanya.
Bekalan itu dipercayai dihantar melalui laluan sungai dari Mansalong sebelum dibawa menggunakan jalan darat dari Pagalungan ke rumah suspek untuk disimpan di dalam stor berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengesan individu dikenali sebagai Amir dan Ikon, selain mengenal pasti pembeli serta menyemak komunikasi dan transaksi yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan pembelian dan penjualan senapang angin serta peluru berkenaan.
Polis juga akan mendapatkan pemeriksaan pakar terhadap senapang angin dan peluru yang dirampas serta menyemak status lesen atau permit berkaitan pemilikan dan penjualannya.





