Lelaki nyaris lemas dihanyutkan arus ketika redah jalan banjir

19 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki nyaris lemas dihanyutkan arus ketika redah jalan banjir
Tangkap layar video tular memaparkan detik-detik cemas ketika mangsa diselamatkan oleh orang awam.

KUANTAN- Seorang penunggang motosikal nyaris lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah jalan utama Kemasul ke Agropolitan Chemomoi ( Sungai Poh), Bentong yang dinaiki air pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 44 tahun terselamat apabila sempat berpaut pada sebatang pokok kelapa sawit sebelum diselamatkan orang awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkongsi video kejadian itu menerusi laman Facebooknya yang memaparkan detik-detik cemas ketika mangsa diselamatkan.

Melalui video tersebut, Amizar memaklumkan beberapa pemilik kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang melalui laluan berkenaan bertindak menggunakan kabel besi untuk membantu mangsa sebelum berjaya menariknya ke tempat selamat.

Video berdurasi satu minit 10 saat itu turut memaparkan dua lelaki meredah air banjir sehingga paras dada menghampiri mangsa sebelum menghulurkan kabel besi yang disambungkan kepada sebuah kenderaan.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bentong memaklumkan, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kompleks Agropolitan Chemomoi sebelum dihanyutkan bersama motosikalnya.

Bentong menjadi daerah pertama di Pahang dilanda banjir Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini apabila seramai 139 mangsa daripada 39 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Karak Setia pada Rabu.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved