
KOTA KINABALU – Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi-manda di sebuah tapak perkhemahan di Kiulu, Tuaran pada Sabtu lepas.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan pada 4.15 petang sebelum enam anggota dikerahkan ke lokasi sejauh 25 kilometer itu, seminit kemudian.
“Pemanggil tersebut kemudian menghubungi semula bilik kawalan pada 4.20 petang memaklumkan bahawa orang awam telah menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba diketuai oleh Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Welfred Sulai tiba di lokasi pada 4.46 petang dan segera memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan pada 5.11 petang sebelum dibawa ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia itu ditamatkan sepenuhnya pada 5.21 petang. – BERNAMA
The post Lemas mandi di tapak perkhemahan Kiulu appeared first on Kosmo Online.





