.jpg)
KUALA LUMPUR – Empat sekeluarga ditemui maut dalam satu kejadian tragis di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong, petang semalam.
Seorang lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kondominium berkenaan, manakala isterinya serta dua anak mereka ditemui tidak bernyawa di dalam unit kediaman keluarga itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 3.32 petang.
Menurut beliau, mangsa lelaki berusia 48 tahun dipercayai terjatuh dari bangunan tersebut sebelum pihak polis menjalankan pemeriksaan lanjut di kediamannya.
“Polis kemudiannya pergi ke rumah mangsa dan berjaya membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lagi individu telah meninggal dunia di bilik berasingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan isteri kepada lelaki terbabit, selain dua anak mereka iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
Menurut Fadil, ketiga-tiga mangsa yang ditemui di dalam unit berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian leher.
Polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Setakat ini, punca sebenar insiden masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain dikendalikan sebagai kes mati mengejut (SDR). - 28 Ogos 2026





