Lelaki positif dadah rempuh pintu kaca zon kecemasan HSNZ

23 Jun 2026 • 3:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki positif dadah rempuh pintu kaca zon kecemasan HSNZ
Keadaan pintu kaca Zon Kecemasan HSNZ yang pecah selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian awal pagi Selasa.

KUALA TERENGGANU - Padah menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki cedera ringan selepas kenderaannya hilang kawalan lalu merempuh pintu kaca Zon Kecemasan (Zon Hijau) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada seorang Penolong Pegawai Perubatan jam 5.03 pagi.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati penunggang motosikal berusia 28 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

​"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC datang dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke zon kecemasan hospital berkenaan.

​"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh pintu kaca di zon hijau terbabit menyebabkan suspek mengalami luka ringan di tangan kanan dan kiri," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

​Azli berkata, semakan lanjut mendapati motosikal tersebut adalah milik abang kandung suspek dan cukai jalan (LKM) kenderaan berkenaan juga didapati telah tamat tempoh sejak 22 April 2025.

​Jelas beliau, suspek kini masih ditahan di wad hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan.

​"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai status lesen memandu serta pekerjaan suspek dan kes kini diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved