Dua lelaki khayal dadah disyaki sebabkan kemalangan maut ditahan

12 Jun 2026 • 9:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki khayal dadah disyaki sebabkan kemalangan maut ditahan
Pemeriksaan lanjut polis ke atas kenderaan dinaiki dua lelaki terbabit menemui satu objek menyerupai pistol.

SUNGAI PETANI - Polis menahan dua lelaki dipercayai bawah pengaruh dadah yang disyaki terlibat kemalangan maut membabitkan warga emas di Bandar Laguna Merbok di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki dua lelaki terbabit bagaimanapun menemui satu objek menyerupai pistol.

"Semasa kemalangan, orang awam yang buat kandungan siaran lansung telah menjumpai objek menyerupai pistol dalam kenderaan... membolehkan kita menjalankan siasatan lanjut sama ada pistol tiruan atau tidak," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, polis menerima maklumat kemalangan maut di Jalan Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok menghala pusat bandar.

Katanya, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Grand Livina dan sebuah motosikal jenis Honda.

Akibat kemalangan, penunggang motosikal iaitu seorang warga emas berusia 67 tahun maut akibat parah di bahagian kepala.

"Sementara itu, pemandu kereta berusia 37 tahun dan penumpang hadapan berusia 35 tahun kedua-dua dari Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua positif dadah," katanya.

Hanyan berkata, semakan pula mendapati pemandu kereta mempunyai 16 rekod lampau narkotik dan satu rekod jenayah manakala seorang lagi mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes narkotik.

Kedua-dua lelaki direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 44(1) APJ 1987.