Lelaki pukul isteri diberkas di Alor Setar

28 Apr 2026 • 6:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki pukul isteri diberkas di Alor Setar
Laporan Sinar Harian mengenai wanita keguguran selepas ditumbuk dan dibelasah suami.

SUNGAI PETANI - Lelaki yang didakwa memukul isteri hingga parah di Ambangan Heights Khamis lalu berjaya ditahan pada petang Selasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun itu dilaporkan diberkas di sekitar Alor Setar.

"Suspek baru sahaja ditahan dan proses permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Sungai Petani pada Rabu," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penahanan itu kerana memaklumkan satu sidang media dijadualkan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suami sehingga mengalami keguguran.

Susulan itu, laporan polis dibuat keluarga mangsa bagi mengesan lelaki terbabit dan menggesa agar siasatan lanjut dijalankan.

Kejadian dipercayai tercetus apabila mangsa yang juga penjawat awam dikatakan bertengkar dengan suaminya menyebabkan dia dipukul dengan teruk menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah.