KLANG - Seorang lelaki yang merempuh dua penembak bermotosikal hingga salah seorang maut, didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Peniaga, R Ganesalingam, 49, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, A Khartiyayini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai kemeja-T berkolar hijau kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh K Tinesh Kumar, 33, di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Batu 12, Jalan Keretapi Lama Off Jalan Kapar di sini jam 9.46 hingga 9.47 pagi pada 5 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
**media[3461912]**
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli sementara tertuduh diwakili peguam, Nathiya Kamalanathan yang menyebut bagi pihak seorang lagi peguam, V Ayasamy.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, kejadian bermula apabila penunggang motosikal terbabit dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja kepada pemandu pacuan empat roda berkenaan di Kampung Perepat, Klang.
Shazeli berkata, pemandu pacuan empat roda itu kemudian bertindak mengejar motosikal terbabit sehingga ke Jalan Keretapi Lama.
Pembonceng motosikal itu dipercayai telah mengacukan objek menyerupai pistol sebelum dilanggar pacuan empat roda terbabit hingga kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Seri Kapar.
Pembonceng itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan.
