
Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu pada Khamis selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Tertuduh didapati merogol mangsa kira-kira jam 3 petang, 18 Mac 2025 di sebuah rumah di Pulau Gaya.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan.
Ketika rayuan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya dibebaskan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon hukuman berat sebagai pengajaran dengan mengambil kira faktor pemberat serta trend hukuman bagi kesalahan seumpamanya.
Beliau mencadangkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 12 tahun atau lebih berserta sebatan demi memastikan keadilan diberikan kepada mangsa dan masyarakat.
Menurutnya tertuduh melakukan pengkhianatan kepercayaan yang amat serius apabila mengambil kesempatan terhadap anak kandungnya sendiri di rumah keluarga, sedangkan dia sepatutnya melindungi mangsa.
“Dia mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap usia mangsa yang masih muda, kebergantungannya kepada tertuduh serta ketidakupayaannya untuk mempertahankan diri,” katanya.
Nurul Shafeerah berkata hasil pemeriksaan perubatan yang menunjukkan kesan koyakan lama pada selaput dara serta keterangan mangsa membuktikan tertuduh berulang kali melakukan penderaan seksual terhadapnya sejak 2022 sehingga kejadian terakhir pada 18 Mac 2025.
Beliau turut berkata tertuduh menggunakan ketakutan, kekerasan fizikal dan ugutan untuk mendiamkan mangsa serta menghalangnya daripada melaporkan kejadian itu.
“Mangsa memberi keterangan bahawa dia tidak melawan kerana terlalu takut dipukul, memandangkan sebelum ini dia pernah berulang kali mengalami penderaan fizikal oleh tertuduh termasuk kepalanya dicukur sebagai hukuman.
“Sejurus selepas merogol mangsa pada 18 Mac 2025, tertuduh mengugutnya supaya berdiam diri dengan berkata, ‘Jangan beritahu sesiapa, awaslah’.
“Disebabkan ketakutan melampau itu, mangsa mengalami trauma sehingga menangis, menggigil dan merayu supaya tidak dihantar kembali ke Pulau Gaya,” katanya.
Beliau berkata kepentingan awam menuntut mahkamah mengenakan hukuman penjara dan sebatan yang berat bagi mencerminkan kecaman masyarakat terhadap perbuatan sedemikian, menghukum tertuduh sewajarnya serta memberi amaran jelas bahawa penderaan seksual terhadap kanak-kanak akan dikenakan tindakan undang-undang sepenuhnya.
Pihak pendakwaan memanggil lima saksi sepanjang perbicaraan, manakala tertuduh merupakan satu-satunya saksi pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Selepas selesai menjalani hukuman, tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.



.jpg?t=1795767641)


