Lelaki didenda RM1,600 rosakkan pengapit tayar

27 Nov 2026 • 4:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki didenda RM1,600 rosakkan pengapit tayar

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 31 tahun didenda RM1,600 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana merosakkan pengapit tayar milik pihak pengurusan sebuah pangsapuri di Penampang.

Muzhafar Jamin mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan pengapit tayar milik pihak pengurusan Beverly Hill Fasa 1, kira-kira jam 2 petang pada 17 Ogos lalu.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan tangga Blok O, Beverly Hill Fasa 1, Penampang menyebabkan kerugian sebanyak RM750.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pengadu yang menjalankan rondaan di pangsapuri berkenaan pada hari kejadian menemui sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih diletakkan di laluan tepi tangga Blok O sehingga menghalang laluan serta di kawasan yang bukan dikhaskan untuk meletak kenderaan.

Pengadu kemudian memasang pengapit pada tayar hadapan sebelah kanan kenderaan itu sebelum meletakkan notis pada cermin hadapan.

Bagaimanapun ketika melakukan rondaan sekali lagi kira-kira jam 2 petang, pengadu mendapati pengapit berkenaan telah ditanggalkan secara paksa dan dibuang ke dalam tong sampah.

Pengapit itu mengalami kerosakan teruk sehingga tidak lagi boleh digunakan.

Pihak pengurusan kemudian menghubungi pemilik kenderaan, Muzhafar bagi mendapatkan penjelasan dan membincangkan kejadian itu.

Bagaimanapun lelaki berkenaan enggan memberikan kerjasama serta tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang diminta.

Kerugian akibat kerosakan itu dianggarkan RM750.

Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah.

Hairul Ladani didakwa mengugut untuk mencederakan Wong Chi Kong pada kira-kira jam 1.17 petang, 15 September 2022 di jambatan yang menghubungkan kawasan bangunan Kompleks Karamunsing dengan Karamunsing Capital.

Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan Hairul diikat jamin RM1,600 dengan dua orang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya, Akaash Singh, mengendalikan pendakwaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved