Polis tahan lima termasuk remaja 17 tahun berhubung kes curi kabel ragut nyawa

27 Nov 2026 • 6:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis tahan lima termasuk remaja 17 tahun berhubung kes curi kabel ragut nyawa

ISKANDAR PUTERI: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara lima lelaki ditahan polis berhubung kes kecurian kabel di Taman Nusa Bestari di sini, hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi parah pada Selasa lalu.

Kelima-lima suspek berusia antara 17 hingga 27 tahun itu diberkas polis di Kota Tinggi lewat malam tadi.

Mereka berdepan kemungkinan didakwa atas pertuduhan membunuh susulan kematian mangsa berusia 22 tahun akibat kecederaan parah selepas digilis kenderaan digunakan kumpulan pencuri kabel terbabit.

Mangsa, S. Thanus, 22, meninggal dunia Rabu lalu, selepas dilanggar suspek yang cuba melarikan diri dari tempat kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, Selasa lalu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, R. Vinod Kumar, 34, terselamat namun mengalami kecederaan serius pada paru-paru dan patah lengan.

Mangsa dijadualkan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Difahamkan, polis mengenal pasti kenderaan dinaiki suspek menerusi risikan walaupun penjenayah menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha yang dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“Lima suspek berjaya ditahan manakala usaha mengesan rakan subahat mereka sedang giat dijalankan.

“Ya, kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

The post Polis tahan lima termasuk remaja 17 tahun berhubung kes curi kabel ragut nyawa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved