GEORGE TOWN – Seorang lelaki dipercayai menghidap masalah mental cedera parah selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah flat di Taman Seri Perak, Jelutong, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.53 petang itu, mangsa berusia 53 tahun dilaporkan terjatuh lalu terhempas di atas bumbung tingkat satu bangunan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati mangsa berada di atas bumbung tingkat satu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan pengusung dan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan cedera di beberapa bahagian badan dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata operasi yang melibatkan lapan anggota termasuk seorang penyelia itu tamat sepenuhnya pada jam 7.38 malam.


