Lelaki sebabkan kematian Syed Muhammad Danial didapati bersalah, gagal buktikan mangsa ancam tertuduh & isteri

5 Dec 2023 • 2:37 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Bekas pekerja IT, Yew Wei Liang, disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, atas pertuduhan menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Julia Ibrahim mendapati, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh yang berasal dari Kelantan gagal membuktikan mangsa melakukan ancaman terhadap dia dan isteri.

“Wujud hak untuk mempertahankan harta tertuduh daripada perbuatan khianat oleh mangsa, iaitu merosakkan kereta Innovanya, menggunakan kayu bola lisut.

“Bagaimanapun, hak pertahankan harta ini tidak dilanjutkan sehingga menyebabkan kematian si mati,” katanya.

Susulan itu, pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah bagi kesalahan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Prosiding hujahan untuk sabitan hukuman, ditangguhkan ke jam 2.30 petang ini.

Pada 22 Ogos 2019, tertuduh didakwa membunuh Syed Muhammad Danial di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

20 Julai 2023, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan tertuduh diperintah untuk membela diri.

Sumber: Sinar Harian