Lelaki tanpa identiti ditemukan maut di tepi jalan

10 May 2026 • 9:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki tanpa identiti ditemukan maut di tepi jalan
Mangsa ditemukan di tepi jalan dipercayai selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 85, Jalan Sapi Nangoh-Botition, Beluran.

BELURAN - Seorang lelaki tanpa identiti ditemukan maut di tepi jalan dipercayai akibat tercampak selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Kilometer 85, Jalan Sapi Nangoh-Botition di sini pada Ahad.

Mangsa berusia lingkungan 20-an itu ditemukan orang awam dan video penemuannya turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung video tersebut pada jam 9.45 pagi.

"Kejadian itu membabitkan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri dan mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan laju.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan ditemui di tepi jalan oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nangoh," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada beberapa bahagian anggota badan.

"Mangsa didapati parah di bahagian muka, patah tulang hidung dan kaki. Pengesahan kecederaan mangsa dibuat oleh pegawai perubatan Hospital Beluran.

"Pemeriksaan lanjut terhadap mangsa juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki mangsa merupakan warga asing," katanya.

Sehubungan itu, Hasan berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Alpius @ Nickee di talian 019-8707626.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.