
PETALING JAYA – Dakwaan seorang warga asing membuang air kecil dalam tren mencetuskan perdebatan apabila ramai pengguna media sosial percaya cecair itu sebenarnya peluh selepas berlari.
Menerusi perkongsian tular di Threads, seorang pengguna memuat naik rakaman dan gambar seorang lelaki berdiri berhampiran pintu tren dengan keadaan lantai di sekitar kakinya kelihatan basah.
Pengguna berkenaan mendakwa lelaki terbabit membuang air kecil di dalam tren yang menuju ke arah Kelana Jaya.
Bagaimanapun, dakwaan itu dipertikaikan beberapa pengguna media sosial selepas melihat lelaki tersebut memakai pakaian serta kasut sukan.
“Rasanya itu peluh sebab seluar di bahagian belakang pahanya melekap dan lencun,” kata pengguna @blondeyreveal2.0.
Seorang lagi pengguna, @thyrawhos turut berpandangan keadaan tersebut mungkin berpunca daripada peluh selepas melakukan aktiviti larian.
“Itu peluh selepas berlari. Kalau saya pun, selepas berlari memang akan berpeluh begitu sehingga lencun,” katanya.
“Air kencing ke ini? Mungkin peluh, nampak seperti baru selesai maraton. Kalau betul begitu, keringkanlah badan terlebih dahulu. Sebab itulah saya tidak mahu memegang pemegang di dalam MRT,” kata @agatha.gan.
“Mereka yang tidak pernah berlari atau bersenam mungkin tidak tahu, ini peluh berlebihan dan bukannya air kencing. Perkara ini biasa berlaku dalam kalangan pelari dan atlet. Kasihan, peluh pula difitnah sebagai air kencing,” tulis @aweiliwei.
Rapid KL menerusi akaun rasminya turut memberikan respons terhadap hantaran asal dengan meminta maklumat lanjut untuk tindakan segera.
“Hai Hana. Boleh dapatkan nombor tren untuk tindakan segera?” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Rasanya itu bukan kencing tapi peluh selepas berlari’ appeared first on Kosmo Online.






