Lelaki Terkejut Ada ‘Housemate’ Baru, Hanya Sedar Selepas Lihat Kulit Ular Di Merata Rumah [Video]

18 Jun 2025 • 12:38 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada masa kini, media sosial sering menjadi medium orang ramai untuk berkongsi kisah menarik atau isu dalam kehidupan mereka.

Bagi kebanyakan individu, kisah yang dikongsikan pula hanyalah sekadar untuk suka-suka dan dijadikan pengajaran oleh pengguna lain.

Antara perkongsian yang sering mendapat perhatian adalah tentang kesusahan atau kejayaan seseorang yang boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi.

Bukan itu sahaja, kisah lucu atau pengalaman unik juga sering menjadi perhatian dan bualan pengguna lain.

Lelaki Tak Sangka Dah ‘Tinggal’ Dua Minggu Dengan Ular Sawa

Seperti baru-baru ini, seorang lelaki telah berkongsikan pengalaman seram apabila dia sebenarnya tinggal bersama dengan ‘teman serumah’ baharu tanpa disedari olehnya.

Apa yang menjadi perhatian, housemate lelaki itu bukanlah manusia sebaliknya seekor ular sawa!

Memetik Harian Metro, lelaki yang dikenali sebagai Rajesh Khanna itu tidak menyangka yang dia sebenarnya telah tinggal bersama haiwan reptilia itu selama dua minggu di kediamannya yang terletak di Taman Desa Mewah, Semenyih, Selangor.

Lebih menggerunkan, dia menjalani kehidupan seperti biasa termasuk memasak di dapur yang menjadi tempat ular sawa itu bersembunyi malah siap mengalihkan perabot dan hiasan di dalam rumah.

Hanya Sedar Lepas Perasan Ada Kulit Ular Di Beberapa Lokasi Dalam Rumah

Jelas Rajesh yang berusia 52 tahun, dia hanya menyedari kehadiran haiwan berkenaan selepas menemui kulit ular di singki tandas, ruang makan, tepi tingkap dan lantai rumah.

Dia kemudiannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan pada Jumaat (13 Jun) lalu.

Rumah Sudah Tidak Berpenghuni Selama Sebulan

Kongsi Rajesh, dia tinggal di rumah itu sendirian dan telah lebih sebulan kediamannya itu tidak berpenghuni.

Ini kerana dia telah dimasukkan ke Hospital Serdang akibat jangkitan kuman pada buah pinggang sejak 7 April lalu.

Namun, dia hanya pulang ke rumah pada 1 Jun lalu selepas menjalani proses pemulihan di rumah keluarga sebaik keluar dari hospital pada 24 April.

“Tetapi sepanjang tempoh ditahan di wad, adik ada singgah ke rumah saya untuk ambil barang keperluan dan beritahu bingkai gambar yang tergantung di dinding rumah jatuh.

“Cuma mustahil nak kata ia angkara kucing kerana tidak nampak ruang untuk haiwan itu masuk.

“Dua minggu lalu, saya pulang dan dapat rasakan ada ‘sesuatu’ dalam rumah, tetapi tak nampak tanda apa-apa sehinggalah terjumpa kulit ular.

“Gelabah dan meremang dibuatnya dan saya duduk di ruang tamu selepas hubungi APM untuk pantau (keberadaan ular sawa) sementara tunggu anggota tiba,” katanya yang dipetik Harian Metro.

APM Ambil Masa 30 Minit, Syak Ular Menjalar Dalam Rumah Cari Makanan

Rajesh yang bekerja sebagai cef mendedahkan anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mencari dan menangkap ular tersebut yang berada atas almari dapur.

“Agak besar juga saiz ular itu. Tak sangka ia bersembunyi di situ dan terima kasih sangat kepada anggota APM atas kecekapan mereka melakukan tangkapan.

“Saya syak ular itu menjalar dalam rumah pada malam hari untuk cari makanan dan sebab itu kulitnya tertanggal (di beberapa tempat) kerana dalam tempoh bersalin kulit. Cuma saya tak terserempak dengannya waktu di dapur,” jelasnya.

Insiden Sebagai Pengajaran Agar Berhati-Hati

Jelas Rajesh, insiden yang berlaku sememangnya memberi peringatan kepadanya agar lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga persekitaran rumah agar tidak semak.

Sebelum ini, tular di media sosial video yang dikongsikan oleh Rajesh ketika proses tangkapan ular yang dilakukan oleh APM di rumahnya.

Sungguh tak disangka saya duduk serumah dengan Ular Sawa yang bercorak cantik dan unik ini untuk lebih dua minggu sehingga lah saya terserempak dengan kulit salinannya merata rata di dalam rumah tengah hari ini. Dah beberapa hari perabut dan hiasan saya bergerak kesana kesini.. namun tak pernah jumpa dengan si mamat ini. Siap saya masak kat dapur tadi sambil shoot sementara mamat tuu lepak sakan diatas. Gilerrr kentang kau Chef Rajesh Khanna !! Sampai boleh "Live in together".. Ahakks Salinan kulit ketinggalannya berada didalam tandas, dapur, ruang tamu dan bilik bawah rumah saya. Semua tempat dia dah merangkak, survey dan melepak. Hmmm.. Saya bersyukur kepada tuhan kerana sentiasa melindungi saya dan saya tidak bertelagah dengan ular yang tidak tahu apa2 dan yang tidak bersalah ini. Salahnya hanya rumah saya kekosongan selama sebulan dua sewaktu saya sakit.. so dia datang melepak blues kat dalam. Selesa sangat kut rumah saya nie.. Atau mungkin nak tolong saya jagakan.. 😆 Tapi walau apa apa pun saya ingin percaya.. ianya satu petanda yang baik dan yang akan membawa berkat atau pengajaran. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada team #pertahananawam Kajang (JPAM) yang telus, berani dan cekal kerana bertungkus lumus menangkap ular ini dengan penuh skill dan keperihatinan yang ketara. You guys are the BEST! Shout out to Cik Fatimah Zahra. Kecil molek namun berani berbisa! Kepada penduduk #desamewahsemenyih Desa Mewah Semenyih pula.. Jika belakang dan didepan rumah anda semak menyemak.. Tolong bersih kan dengan segera dan dengan kerap.. Jangan nak bela dan bermesra dengan tetamu yang tidak diundang. Biar ini menjadi satu teladan kepada semua. 🙏😊

Posted by Chef Rajesh Khanna on Friday 13 June 2025

Tips Kalau Jumpa Ular Dalam Rumah

Sekiranya anda terjumpa haiwan berbisa seperti ular, ini antara langkah yang boleh diambil jika berdepan dengan situasi tersebut;

  1. Hubungi 999 untuk dapatkan bantuan
  2. Perhatikan gerak geri dan pergerakan ular
  3. Tutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan ular dari keluar
  4. Minta ahli keluarga atau penghuni untuk keluar dari rumah dan mencari tempat selamat untuk berlindung
  5. Kurangkan pergerakan di hadapan ular
  6. Kenal pasti jenis, panjang dan corak yang ada pada ular
  7. Berikan maklumat yang tepat pada pasukan penyelamat.

Anda diingatkan agar tidak bertindak sendirian dengan cuba menangkap atau menghalau haiwan reptilia berkenaan.

Source: