
GEORGETOWN – Seorang pekerja kedai makan yang berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang remaja perempuan di dalam tandas sebuah pusat beli-belah, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Chuah Cheng Seng, 71, yang juga seorang pesakit kencing manis bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki yang terletak di tingkat dua sebuah pusat beli-belah, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 1 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa pada masa dan lokasi sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi semua pertuduhan oleh seorang penjamin tempatan dan menetapkan 16 November ini sebagai tarikh serah serahan dokumen.
The post Lelaki usia 71 tahun ‘noda’ remaja di tandas pusat beli-belah appeared first on Kosmo Online.


![[KEMASKINI] 10 kenderaan musnah dijilat api di parkir JBCC](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-06-at-9.52.27-PM-1024x768.jpeg)



