
KENINGAU: Dua remaja lelaki tempatan berusia 15 dan 16 tahun ditahan ekoran disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata tangkapan dibuat pada Isnin di Kampung Binaong susulan laporan kehilangan sebuah motosikal di kawasan Taman Fajar pada 15 November.
Menurut beliau tindakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Keningau membawa kepada penemuan dan rampasan rangka, enjin serta komponen motosikal yang disyaki berkaitan kegiatan curi motosikal.
“Antara barang dirampas adalah dua rangka motosikal, dua enjin motosikal termasuk satu yang masih bersama rangka, satu set penutup badan motosikal, ekzos, dua rim berserta tayar serta empat komponen enjin motosikal.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap nombor casis dan enjin mendapati beberapa barang rampasan dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan motosikal yang sedang disiasat,” katanya.
Erwansyah menyatakan siasatan awal mendapati motosikal yang dicuri dipercayai dibawa ke sebuah rumah di Kampung Binaong sebelum beberapa komponennya dileraikan untuk digunakan pada motosikal lain.
Ujarnya pihak polis turut mengesan kemungkinan penglibatan kedua-dua suspek dalam satu lagi kes curi motosikal yang dilaporkan sebelum ini di daerah Keningau.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu lain serta mengesan sebarang kaitan dengan kes-kes kecurian motosikal yang lain,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berikutan kedua-dua suspek masih di bawah umur, tindakan siasatan dan proses perundangan dilaksanakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 serta undang-undang berkaitan.





![[KEMASKINI] Dua rentung selepas rempuh tiang elektrik](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/Untitled-Design-2026-11-18T134343.051.png)