Lelaki warga emas ditemukan lemas di Sungai Melaka

6 Aug 2026 • 5:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki warga emas ditemukan lemas di Sungai Melaka

MELAKA: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas di Sungai Melaka berhampiran Hotel Casa del Rio di sini, hari ini, selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai pada awal pagi.

Mangsa berusia 70-an, ditemukan kira-kira pukul 11.45 pagi, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pegawai Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd. Firdaus Bukari berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bergegas ke lokasi.

Menurut beliau, seramai 12 anggota membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 10.16 pagi, pasukan dimaklumkan seorang lelaki dipercayai telah terjatuh ke dalam Sungai Melaka kira-kira pukul 5.45 pagi.

“Hasil maklumat awal di lokasi, beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa ditemukan berhampiran tebing sungai sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, operasi pencarian turut dibantu melalui semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran selain kaedah pencarian di permukaan air.

“Pada pukul 11.45 pagi, mangsa berjaya ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

“Anggota bomba bersama pihak polis kemudian menjalankan kerja-kerja mengangkat mangsa ke darat sebelum menunggu kehadiran pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membuat pengesahan kematian,” katanya.

Beliau berkata, operasi berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan kes seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN

The post Lelaki warga emas ditemukan lemas di Sungai Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved