
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes samun terhadap seorang wanita warga asing di Cheras Business Centre, di sini pada 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak Polis Daerah Cheras menerima laporan daripada wanita berusia lingkungan 30 tahun itu sekitar pukul 8.01 malam pada hari berkenaan.
Menurut beliau, mangsa mendakwa telah disamun seorang lelaki warga asing yang tidak dikenali di kawasan tersebut.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan serbuan pada 1 September lalu, kira-kira pukul 6 petang di sekitar ibu negara.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadil berkata, hasil soal siasat terhadap suspek, polis turut berjaya menemukan dan merampas semula barang kes berupa seutas rantai yang dipercayai disamun.
“Pemeriksaan dan saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan lanjut mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini direman sehingga 20 September ini bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki warga India ditahan kes samun rantai appeared first on Kosmo Online.






