Lelaki warga Myanmar didakwa seludup tujuh migran

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 1:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki warga Myanmar didakwa seludup tujuh migran

IPOH: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh migran yang juga warganegara Myanmar di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zaw Zaw Aung, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan tujuh migran di Kilometer 261.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora dalam daerah Kinta pada pukul 12 tengah hari, 13 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, S. S. Pavitra memaklumkan mahkamah bahawa jaminan tidak ditawarkan kerana pertuduhan itu adalah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa dilantik.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lelaki sama turut didakwa sebagai warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikenakan enam sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan Majistret S. Punitha menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Myanmar. – UTUSAN

The post Lelaki warga Myanmar didakwa seludup tujuh migran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved