
Dina Hayati, 30, dan Sany, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
GEORGE TOWN: Seorang wanita Indonesia dan teman lelakinya warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, bulan lepas.
Dina Hayati, 30, dan Sany, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa membunuh Ali Sahari Ali Juhar yang juga anak wanita itu di ruang tamu sebuah rumah di Lintang Merak, Sungai Dua di sini pada 9.30 pagi 23 Julai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad manakala pasangan kekasih itu tidak diwakili peguam.
Majistret tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan menetapkan 6 Okt untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan penahanan seorang wanita Indonesia dan lelaki Bangladesh bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.
Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan pihak hospital mendapati terdapat kesan lebam pada anggota badan kanak-kanak itu.






