Lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Taman Suria

8 Nov 2026 • 6:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Taman Suria

TAIPING – Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama empat rakannya di kawasan Air Terjun Taman Suria, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.10 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan BBP Kamunting digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jarak perjalanan ke lokasi dianggarkan tiga kilometer sehingga ke pusat pemeriksaan (checkpoint), sebelum anggota perlu meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer melalui laluan lereng bukit untuk sampai ke kawasan air terjun.

“Setibanya di lokasi, mangsa didapati sudah dibawa keluar oleh rakannya dan dibaringkan di kawasan batuan sungai yang datar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi yang juga rakan mangsa, lelaki berkenaan sedang mandi di kawasan air terjun bersama empat rakannya sebelum kejadian berlaku.

Katanya, ketua operasi kemudian mengarahkan anggota melakukan penilaian awal serta memberikan bantuan kecemasan termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi menstabilkan keadaan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya dibawa turun menggunakan pengusung oleh anggota bomba.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang membabitkan seramai 15 anggota bomba itu turut mendapat bantuan lima anggota polis dan dua petugas KKM dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.20 petang.- KOSMO! ONLINE

The post Lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Taman Suria appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved