Kerja pengorekan saliran kurangkan risiko bah di Kuala Langat

LocalEnvironment
8 Nov 2026 • 8:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kerja pengorekan saliran kurangkan risiko bah di Kuala Langat

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerja pengorekan dan pembersihan saliran di Lorong Santan, Kampung Sungai Buaya, Banting membantu melancarkan aliran air meskipun kawasan itu menerima hujan lebat serta berdepan fenomena air laut pasang.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Langat memaklumkan pemantauan pada jam 5.45 petang tadi mendapati keadaan di kawasan berisiko banjir itu masih terkawal, susulan pelaksanaan kerja meningkatkan kapasiti saliran.

Menurut jabatan itu, hujan lebat dengan taburan melebihi 60 milimeter yang melanda beberapa kawasan petang tadi, ditambah keadaan air laut pasang, berpotensi meningkatkan risiko banjir khususnya di kawasan rendah.

"Hasil pemantauan mendapati keadaan di kawasan tersebut masih terkawal dengan aliran air mengalir dengan baik hasil pelaksanaan kerja-kerja pengorekan dan pembersihan saliran yang telah siap sepenuhnya (100%)," menurut JPS Kuala Langat di Facebook.

Jabatan itu turut melaksanakan kerja jangka pendek berimpak segera (quick win) bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran utama di daerah berkenaan.

Inisiatif tersebut bertujuan mempercepat aliran air selain membolehkan saliran menampung lebihan air buat sementara waktu sebelum disalurkan ke kawasan hilir.

"Kerja-kerja pengorekan ini bertujuan meningkatkan kapasiti saliran serta melancarkan aliran air, sekali gus membantu mengurangkan risiko berlakunya limpahan air ketika hujan lebat, khususnya dalam keadaan air laut pasang," menurut jabatan itu.

Fenomena air pasang besar yang bermula semalam dijangka berlarutan hingga 11 November, dengan kawasan pesisir pantai Selangor termasuk Kuala Langat antara lokasi yang diberi perhatian.

Berdasarkan laporan sebelum ini, paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramal mencecah 5.2 meter pada jam 5.02 pagi hari ini, iaitu dalam kategori amaran.

Paras air turut dijangka mencapai 5.1 meter pada 9 dan 10 November sebelum menurun kepada 5.0 meter pada 11 November.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pemantauan benteng pantai dipertingkat dari Sabak Bernam hingga Morib, Kuala Langat bagi menghadapi risiko limpahan air laut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved