
KOTA TINGGI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi remaja yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini dipertingkatkan dengan penggunaan dron yang mampu meliputi kawasan liputan sehingga 20 kilometer persegi persisir pantai.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, langkah berkenaan diambil berikutan faktor cuaca yang mencabar serta keadaan laut berombak mencecah 1.5 meter.
Katanya, skop pencarian pada hari kedua operasi turut diluaskan daripada radius satu batu nautika kepada dua batu nautika di kawasan sektor barat laut pantai berkenaan.
”Operasi SAR pada hari ini diaktifkan semula seawal pukul 7 pagi dengan kekuatan 41 anggota merangkumi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti maritim tempatan.
”Dua buah dron dari APMM dan bomba juga telah diterbangkan secara berperingkat membabitkan beberapa sesi bagi mengesan kedudukan mangsa. Penggunaan helikopter juga akan dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Katanya tiga lagi remaja yang masih hilang di berkemungkinan hanyut lebih jauh ke tengah laut susulan keadaan arus laut serta ombak kuat.
”Berdasarkan penemuan mangsa pertama semalam, ada kemungkinan mangsa-mangsa lain hanyut lebih jauh dari sektor asal.
”Pihak kita juga dalam proses memaklumkan kepada pihak berkuasa negara jiran menerusi Maritime Rescue Centre (MRSC) Johor Bahru sebagai langkah berjaga-jaga, meskipun lokasi pencarian masih berada dalam perairan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lemas Tanjung Lompat: Dron diterbangkan kesan tiga mangsa hilang appeared first on Kosmo Digital.






