
GAZA: Lembaga Keamanan yang disokong Amerika Syarikat (AS) semakin memperlihatkan pendirian yang selari dengan kehendak Israel apabila syarat pengunduran tentera rejim dari Gaza diperketatkan dan dikaitkan secara langsung dengan pelucutan senjata Hamas.
Perubahan itu menjadikan pendekatan lembaga berkenaan semakin dekat dengan tuntutan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mahu tenteranya kekal di Gaza sehingga Hamas melucutkan semua senjatanya.
Malah, keputusan terbaharu itu membatalkan pendekatan pengunduran secara berperingkat yang dibentangkan sebelum ini, sekali gus memberi gambaran ruang rundingan semakin sempit kepada syarat yang ditetapkan Israel.
Minggu lalu, seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata Israel pada peringkat awal akan berundur ke Garisan Kuning di bawah pelan pelucutan senjata berkenaan.
Memetik laporan Middle East Eye, cadangan itu turut mengaitkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dengan proses pelucutan senjata Hamas secara beransur-ansur.
Isnin lalu, lembaga itu pada awalnya merujuk kepada pengunduran penuh Tentera Pertahanan Israel (IDF), sekali gus membuka kemungkinan pengunduran sebahagian tentera lebih awal.
Bagaimanapun, perkataan ‘penuh’ itu dibuang beberapa minit kemudian, menjadikan pendirian lembaga berkenaan lebih hampir kepada tuntutan Netanyahu supaya Israel mengekalkan tenteranya sehingga Hamas melucutkan senjata sepenuhnya.
“Bertentangan dengan laporan tidak tepat, kami menegaskan pengunduran IDF melepasi Garisan Kuning hanya akan berlaku selepas proses pelucutan senjata selesai, seperti yang dipersetujui Hamas dengan pihak pengantara. Ini merangkumi senjata ringan, senjata berat serta terowong,” kata lembaga itu selepas pegawainya mengadakan pertemuan dengan Netanyahu.
Perubahan pendirian itu turut bercanggah dengan kenyataan wakil tinggi lembaga berkenaan, Nickolay Mladenov, yang minggu lalu menegaskan pengunduran tersebut mesti dilakukan seiring dengan proses pelucutan senjata.
Hamas sebelum ini menerima susunan asal berkenaan. Namun, perubahan pendirian lembaga itu berisiko menjejaskan persetujuan tersebut, selain dilihat memberi kelebihan kepada Israel yang enggan menghentikan serangan atau berundur dari Garisan Kuning.
Menurut laporan Israel Hayom, Netanyahu memberitahu Mladenov pasukannya tidak akan menghentikan serangan ke atas Gaza atau berundur dari garisan berkenaan.
Beberapa laporan juga mendakwa, Israel turut meminta jaminan mereka masih mempunyai hak menyerang Gaza walaupun Hamas dilucutkan senjata.
Israel juga membantah penyertaan Turkiye dan Qatar dalam jawatankuasa yang memantau proses pelucutan senjata, selain menuntut supaya senjata Hamas dimusnahkan dan bukan disimpan.
The post Lembaga Keamanan makin ikut acuan Israel appeared first on Utusan Malaysia.





