liza30/12/2025 - 15:43 Antara projek perumahan PERDA yang dibina sebelum ini KUALA LUMPUR 30 Dis – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menyasarkan untuk membina 5,000 unit rumah di Seberang Perai Utara dalam tempoh lima tahun akan datang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.
Pengerusinya Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata projek perumahan berskala besar itu merangkumi pelbagai jenis kediaman, termasuk rumah mampu milik dan skim sewa beli bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
“Pembangunan itu melibatkan tanah milik PERDA seluas 202.34 hektar di beberapa lokasi strategik di sekitar Seberang Perai Utara.
“Daripada keseluruhan 5,000 unit itu, kira-kira 500 unit atau 10 peratus dikhususkan di bawah konsep sewa beli bagi golongan yang kurang mampu dapat membeli rumah dengan cara menyewa sebelum memilikinya sepenuhnya selepas tempoh sekitar 20 tahun.
“Kita faham naluri rakyat, khususnya mereka yang kurang berkemampuan kesukaran mendapat pinjaman perumahan, jadi skim sewa beli ini diwujudkan bagi memudahkan mereka membayar secara bulanan dan akhirnya memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Program Kembali Ke Sekolah anjuran PERDA dengan kerjasama syarikat agensi, PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVSB) yang menyediakan 200 murid menerima bantuan berupa tunai RM150 bagi pembelian pakaian seragam serta peralatan sekolah.
Tambah Shaik Hussein, harga rumah mampu milik dijual PERDA adalah di bawah RM300,000, namun tertakluk kepada jenis rumah dan lokasi, bergantung kepada pasaran semasa dan kos pembinaan yang ditawarkan oleh syarikat perumahan lain.
“PERDA tidak mengambil keuntungan besar, malah ada projek kita tidak ambil untung langsung kerana PERDA ialah agensi ditubuhkan untuk rakyat (dan) bukan mencari untung.
“Apabila kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah pentadbiran yang sama, banyak proses kelulusan projek PERDA menjadi lebih mudah. Projek-projek tertangguh sebelum ini juga berjaya diselesaikan,” katanya.
Bagi projek 500 unit rumah sewa beli, beliau berkata ia dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan disasarkan siap sebelum pertengahan 2026.
Shaik Hussein berkata PERDA optimis sasaran pembinaan 5,000 rumah di Seberang Perai Utara itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun, sekali gus membantu menangani isu pemilikan rumah dan memenuhi keperluan perumahan rakyat secara mampan. -- BERNAMA




