Silver Ridge raih dua subkontrak RM10.86 juta bina pusat data di Johor Bahru, ubah suai pangsapuri servis di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
30 Dec 2025 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Silver Ridge raih dua subkontrak RM10.86 juta bina pusat data di Johor Bahru, ubah suai pangsapuri servis di Pulau Pinang image is not available liza30/12/2025 - 09:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Dis – Silver Ridge Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ingress Delta Construction Sdn. Bhd meraih dua subkontrak bernilai RM10.86 juta melibatkan projek pembinaan dan ubah suai di Johor Bahru serta Pulau Pinang. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Silver Ridge berkata, projek pertama melibatkan pembinaan pusat data di Johor Bahru yang diterima daripada IJM Construction Sdn Bhd sebagai kontraktor utama.

 

“Ingress Delta Construction bertanggungjawab ke atas kerja-kerja pembekalan, penghantaran dan pemasangan pakej ‘wetworks’ bernilai RM9.21 juta .

 

“Ia merangkumi pembinaan satu bangunan pusat data 6 tingkat lengkap dengan pejabat, dua unit pondok kawalan serta pusat pengurusan sisa dan kawasan kitar semula.

 

“Tempoh pelaksanaan dijangka enam bulan, bermula 1 Januari 2026 hingga 11 Jun 2026,” kata penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu dalam makluman tersebut.

 

Projek kedua pula membabitkan pangsapuri servis dan ubah suai bangunan warisan di Pulau Pinang yang diterima dari Taghill Projects Sdn Bhd sebagai kontraktor utama. 

 

Ingress Delta Construction akan melaksanakan kerja-kerja mengecat dan kerja berkaitan (All Provisional) dengan nilai subkontrak RM1.65 juta. 

 

“Projek ini termasuk ubah suai tujuh unit bangunan warisan 2 tingkat menjadi empat unit kedai, penukaran guna bahagian atas dua unit bangunan warisan dari kediaman ke komersial, serta pembinaan pangsapuri servis 29 tingkat (603 unit) lengkap dengan tempat letak kereta dan kemudahan rekreasi. 

 

“Tempoh projek ditetapkan selama 19 bulan, dijangka siap pada 13 Julai 2027,” katanya.

 

Menurut syarikat, kedua-dua subkontrak ini adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan dan tidak memberi kesan material terhadap modal berbayar, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham atau nisbah hutang syarikat. 

 

Risiko yang terlibat adalah risiko operasi biasa, manakala projek-projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan.

 

Lembaga pengarah menegaskan penerimaan subkontrak ini adalah kepentingan terbaik bagi kumpulan, dan tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan peribadi dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard