
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan terkejut apabila mendapat tahu Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadual bersidang esok, bagi membincangkan perkembangan terbaharu berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sumber berkata, Anwar tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai mesyuarat yang dijangka dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu.
Menurutnya, perkara berkenaan hanya diketahui Anwar pada Isnin selepas ia dibangkitkan dalam mesyuarat kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Perdana Menteri sangat kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat pada 11 September yang akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau hanya mengetahui perkara itu apabila ia dibangkitkan dalam mesyuarat kepimpinan PH,” katanya.
Mesyuarat PH berkenaan pada asalnya diadakan bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh kemudian memberikan taklimat mengenai perkara terbabit kepada pimpinan PH.
Sumber berkata, Anwar turut dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju supaya mesyuarat Lembaga Pengampunan diteruskan.
“Jadi, kami percaya mesyuarat itu akan berlangsung seperti yang dilaporkan,” katanya.
Perkembangan berkenaan hadir ketika kedudukan UMNO menjadi perhatian, khususnya saat parti terbabit sedang mengadakan Perhimpunan Agung UMNO dan bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2027.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes SRC International.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Najib kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, Najib kemudian mendakwa wujud titah tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Kewujudan titah berkenaan kemudiannnya menjadi pertikaian di mahkamah.
Mahkamah Tinggi pada tahun lalu memutuskan, arahan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia tidak dibincangkan atau diputuskan oleh Lembaga Pengampunan mengikut proses yang ditetapkan Perlembagaan.
Malaysia juga tidak mempunyai peruntukan undang-undang khusus yang membolehkan hukuman penjara ditukar kepada tahanan rumah.
Dalam perkembangan berasingan, Najib pada Disember 2025 didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion dan kini sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan berkenaan.
Sehubungan itu, sebarang keputusan baharu Lembaga Pengampunan berpotensi membuka ruang kepada bentuk pengampunan atau keringanan hukuman yang berbeza daripada keputusan terdahulu.
The Straits Times sebelum ini melaporkan, Hannah Yeoh dan Peguam Negara dijangka membantah sebarang pengampunan lanjut terhadap Najib.
Namun, keputusan akhir mengenai perkara itu adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan kerangka perlembagaan yang mengawal perjalanan Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Selain Yang di-Pertuan Agong, lembaga itu turut dianggotai Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan.
Kes Najib terus menjadi isu politik sensitif dalam UMNO, khususnya selepas sabitan beliau dalam kes SRC International yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.
Skandal berkenaan menjadi antara isu utama yang mencorakkan PRU 2018, sekali gus menyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional selepas lebih enam dekad menerajui kerajaan Persekutuan.
Walaupun berada di penjara, Najib masih mempunyai penyokong dalam kalangan sebahagian anggota UMNO dan pengundi Melayu.
Kedudukan serta pengaruhnya dalam parti itu kini kembali menjadi perhatian ketika UMNO menilai strategi dan hala tuju politiknya menjelang PRU akan datang. - Getaran, 10 September 2026






