Hannah Yeoh sahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan esok, enggan ulas kes Najib

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 5:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hannah Yeoh sahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan esok, enggan ulas kes Najib
Hannah Yeoh

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan diadakan pada Jumaat.

Memetik daripada The Star, mesyuarat itu akan diadakan pada jam 8.30 pagi.

“Ya, saya boleh mengesahkan perkara tersebut.

“Kami telah dipanggil (untuk menghadiri mesyuarat),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Kawalan Pertahanan Awam Kuala Lumpur pada Khamis.

Hannah bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada lembaga berkenaan akan membincangkan sebarang permohonan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Buat masa ini, saya hanya boleh mengesahkan mesyuarat itu akan diadakan esok,” katanya.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan, Hannah merupakan anggota lembaga berkenaan bersama Peguam Negara dan tiga lagi anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini dilaporkan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dijangka menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada mesyuarat berkenaan akan menghasilkan keputusan atau sekadar membincangkan perkara tersebut.

Najib, 73, sebelum ini disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta milik SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan separuh hukuman penjara beliau kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 22 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman yang dikurangkan itu di bawah tahanan rumah.

Najib kemudiannya menarik balik rayuannya terhadap keputusan berkenaan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved