Najib perlu selesai baki hukuman di penjara – BERSIH

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 6:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Najib perlu selesai baki hukuman di penjara – BERSIH

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyelesaikan baki hukumannya di penjara dan bukan menjalani tahanan di rumah.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Asraf Sharafi berkata, pihaknya yang mewakili 47 pertubuhan masyarakat sivil dan belia serta badan pelajar membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha Lembaga Pengampunan untuk memberikan tahanan di rumah kepada Najib dalam mesyuaratnya esok.

“Beliau (Najib) perlu menjalani baki hukumannya di penjara. Mengapa kes beliau diberi keutamaan sedangkan ramai banduan biasa masih menunggu peluang untuk memohon pengampunan?

“Najib sudah menerima pengurangan hukuman pada Februari 2024 daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta,” katanya kepada pemberita di Pejabat BERSIH di sini hari ini.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan diadakan esok.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya sama ada lembaga berkenaan akan membincangkan sebarang permohonan membabitkan Najib.

Asraf berkata, pemberian tahanan di rumah ataupun pengampunan kepada Najib dilihat tidak praktikal selagi bekas Presiden UMNO itu masih berdepan beberapa kes mahkamah berprofil tinggi lain termasuk pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, pemberian layanan istimewa kepada individu berprofil tinggi akan mewujudkan dua darjat serta menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa golongan elit politik boleh mengambil jalan pintas untuk mengelak hukuman, sedangkan rakyat biasa berdepan sepenuhnya kekuatan undang-undang.

“Membenarkan tahanan di rumah atau pengampunan kepada Najib, boleh mencabar nilai moral masyarakat, selain memberi mesej bahawa wang serta kuasa menentukan apa yang betul dan apa yang salah,” katanya. – UTUSAN

The post Najib perlu selesai baki hukuman di penjara – BERSIH appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved