LENGGONG – Lenggong memperkenalkan modul GeoUsahawan pertama di Malaysia sebagai usaha memperkasa ekonomi komuniti setempat menerusi sektor pelancongan berasaskan geopark.
Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembangunan modul berkenaan memberi fokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dalam kalangan pengusaha tempatan antaranya melibatkan sektor makanan, penginapan, pengangkutan dan pengurusan acara.
"Melalui modul GeoUsahawan, usahawan tempatan akan dilatih bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti yang mampu menyaingi standard antarabangsa.
“Walaupun kita tidak menyediakan hotel lima bintang, tetapi kita mahu homestay dan kemudahan yang ada mampu memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong luar, khususnya pelancong Barat yang lebih tertarik kepada suasana semula jadi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Geoentrepreneur Lenggong Unesco Global Geopark di Dewan Merdeka di sini pada Sabtu.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap, program GeoEntrepreneur itu dapat dijadikan model kepada geopark lain dalam usaha melahirkan usahawan pelancongan yang lebih berdaya saing.
Katanya, Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong akan berperanan sebagai pusat latihan bagi usahawan tempatan selain membuka peluang kepada usahawan dari Geopark di seluruh negara untuk mengikuti modul berkenaan.
"Kita harap mana-mana Geopark di seluruh Malaysia yang ingin melatih usahawan mereka boleh datang ke Lenggong.
"Dengan adanya pusat latihan ini, lebih ramai akan mengenali pembangunan GeoEntrepreneur sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Lenggong sebagai pusat rujukan pembangunan usahawan Geopark negara," katanya.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan membangunkan direktori perkhidmatan pelancongan yang boleh diakses pelawat bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan makanan, penginapan serta aktiviti menarik di Lenggong.
Ujarnya, penggunaan teknologi seperti sistem kod respons pantas (QR) akan dimanfaatkan bagi memastikan maklumat tersebut mudah dicapai oleh pelancong.
"Inisiatif ini juga merupakan persediaan penting menjelang penganjuran acara bertaraf antarabangsa ‘Lenggong Dialogue’ yang dijadual berlangsung pada Disember ini.
“Program ini akan melibatkan 39 pengisian termasuk penyertaan penggiat seni dan budayawan dari pelbagai negara, dengan beberapa acara bermula seawal September,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, pembangunan sektor pelancongan di Lenggong perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana ekonomi masyarakat setempat.
Menurutnya, kehadiran pelancong bukan sahaja memberi limpahan kepada sektor makanan dan penginapan, malah membuka peluang kepada komuniti tempatan untuk terlibat secara langsung dalam industri pelancongan.
“Usahawan tempatan perlu melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada ekosistem geopark, bukan sekadar peniaga, tetapi duta kecil yang mencerminkan imej Lenggong kepada pelawat,” katanya.





