
Pos Malaysia hari ini telah mengesahkan bahawa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan tidak lagi akan mengedarkan Lesen Kenderaan Motor bercetak bermula 1 Februari 2026. Ini juga bermakna bahawa perkhidmatan untuk mencetaknya melalui kiosk Pos Malaysia juga akan dihentikan pada tarikh tersebut.
Ini bukanlah satu perubahan yang baru. Pihak JPJ sudahpun mengatakan sebelum ini bahawa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sudahpun boleh dipamerkan melalui aplikasi MyJPJ sekiranya ia perlu ditunjuk kepada pegawai-pegawai yang memintanya.

Ini juga cukup menarik kerana pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa rakyat kini boleh meminta untuk kad lesen memandu dicetak secara fizikal dengan bayaran sebanyak RM20. Lesen fizikal mungkin akan diperlukan sekiranya pengguna mahu mendaftar untuk International Drivers’ License untuk memandu di luar negara.
Pihak Pos Malaysia juga telah mengatakan bahawa mereka yang masih mahu pelekat Lesen Kenderaan Motor akan perlu mencetaknya di lokasi-lokasi Pos Malaysia sebelum tarikh 1 Februari 2026 sebelum perkhidmatan tersebut dihentikan.


