
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa tempatan Johor telah mengarahkan operasi Network School di Forest City dihentikan berkuat kuasa esok.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengeluarkan arahan penutupan serta membatalkan lesen perniagaan organisasi berasaskan komuniti teknologi itu selepas meneliti laporan pemeriksaan dan hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.
MBIP dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat penuh khas majlis berikutan pemeriksaan serta pemeriksaan penguatkuasaan yang dilaksanakan di premis syarikat berkenaan pada 12, 14, 19 dan 20 Julai.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kemudiannya menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu pembangunan negeri.
“Namun, tiada pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kontroversi membabitkan Network School, yang dilancarkan pada 2024 tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan program berkenaan di Forest City, dengan mendakwa ia menarik penyertaan usahawan asing termasuk warga Israel dengan menggunakan pasport negara kedua.
Antara dakwaan yang tular termasuk soalan temu bual kepada bakal peserta yang menyentuh isu berkaitan Israel, teknologi ketenteraan dan politik.
Turut dipersoalkan ialah dakwaan bahawa inisiatif tersebut berpotensi menjadikan Forest City sebagai lokasi pertemuan usahawan yang mempunyai kaitan dengan Tel Aviv.
MBIP berkata, tindakan penguatkuasaan diambil selepas syarikat berkenaan didapati melanggar syarat lesen serta keperluan penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.
Bagi sebuah unit di Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu Forest City, MBIP berkata syarikat tersebut didapati menjalankan operasi tanpa lesen perniagaan.
Sehubungan itu, notis arahan menghentikan perniagaan dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Bandaraya Iskandar Puteri 2018.
MBIP turut membatalkan lesen premis perniagaan dan lesen iklan bagi sebuah lagi unit di Jalan Forest City 5 selepas mendapati aktiviti perniagaan yang dijalankan di lokasi berkenaan tidak selaras dengan kelulusan asal di bawah lesen penggunaan pejabat.
Majlis itu juga mengeluarkan notis supaya syarikat berkenaan mematuhi syarat lesen iklan selepas mendapati papan tanda dipamerkan di premis tersebut tidak sepadan dengan permohonan yang telah diluluskan.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara, kedaulatan serta kepentingan nasional.
Beliau turut menyeru Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi keselamatan berkaitan supaya meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, penyamaran identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau kesalahan lain di bawah undang-undang Malaysia.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.
“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen perlu ditangani segera, dengan tegas dan tanpa kompromi,” katanya. - Getaran, 21 Julai 2026






