
JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bernama) — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengenakan Notis Henti Niaga terhadap NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) berkuat kuasa esok susulan ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan dan penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
MBIP dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP berhubung aktiviti yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di Forest City, Iskandar Puteri.
Menurut kenyataan itu, MBIP telah menjalankan pemeriksaan serta naziran terhadap aktiviti yang dilaksanakan oleh Network School pada 12, 14, 19 dan 20 Julai lepas.
“Bagi premis yang beralamat di P-01-11, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu Forest City, 81550 Johor Bahru, jenis kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen perniagaan.
“Sehubungan itu, tindakan Notis Henti Niaga diambil di bawah Undang-Undang Kecil 3(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBIP 2018,” menurut kenyataan itu.
MBIP memaklumkan, bagi premis di alamat P-01-12, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu Forest City, 81550 Johor Bahru pula, pihaknya memutuskan untuk mengambil tindakan pembatalan lesen premis perniagaan dan iklan.
Tindakan itu susulan premis berkenaan didapati menjalankan aktiviti perniagaan yang berlainan daripada kelulusan yang diberikan, iaitu sebagai pejabat urusan.
“Tindakan pembatalan lesen diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, MBIP 2018,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, MBIP turut mendapati papan iklan yang dipamerkan di premis berkenaan tidak sama sebagaimana permohonan yang telah diluluskan.
Sehubungan itu, Notis Patuhi Syarat Lesen Iklan akan dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 18, Undang-Undang Kecil Iklan (MDJBT) 1982 selaras dengan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
MBIP memaklumkan semua aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbirannya hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang dan syarat pelesenan yang berkuat kuasa.
Menurut PBT itu, pematuhan berkenaan penting bagi menjaga kepentingan awam, ketenteraman serta integriti sistem pentadbiran tempatan.
Sebelum ini, tular di media sosial tentang dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang.
The post MBIP Kenakan Notis Henti Niaga Terhadap Network School appeared first on The Malaysian Update.






