Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa kerajaan negeri Johor memandang serius tentang operasi Network School di Bandar Iskandar Puteri, Johor kerana keraguan mengenai individu-individu yang dibenarkan untuk beroperasi di bandar tersebut yang memiliki kewarganegaraan negara Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport-pasport negara lain.
Terkini, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mesyuarat Penuh Khas majlis bandaraya tersebut telah membuat keputusan untuk menghentikan operasi NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) berkuatkuasa 22 Julai 2026, susulan kepada ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan dan penggunaan premis dibawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh MBIP, Network School mempunyai dua premis di Bandar Iskandar Puteri. Lokasi pertama yang beralamat di P-01-11, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5 tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan dan diarahkan untuk menghentikan operasi perniagaannya dengan serta merta.

Untuk lokasi kedua yang beralamat di P-01-12, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5 pula, lesen perniagaannya telah dibatalkan, dan diarahkan untuk dihentikan operasi secara serta merta juga kerana menjalankan aktiviti perniagaan berlainan daripada kelulusan yang telah dibenarkan. Pembatalan lesen perniagaan ini telah dilakukan dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP 2018).
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengatakan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
Beliau turut mengatakan bahawa kerajaan Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan yang memberi manfaat kepada ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri, tetapi tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
Badan-badan kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan digesa meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
Sumber: Onn Hafiz Ghazi






