Manipulasi Budi Madani, Lesen stesen minyak boleh dibatalkan

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Manipulasi Budi Madani,  Lesen stesen minyak boleh dibatalkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh menggantung atau membatalkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (Controlled Schedule Article / CSA) sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang sekiranya didapati bersalah memanipulasi subsidi Budi Madani.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan itu boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan sekiranya siasatan mengesahkan berlaku kesalahan termasuk memanipulasi rekod yang menjadi tanggungjawab pemegang lesen berkenaan.

Katanya, siasatan sedang dijalankan oleh pelbagai pihak dengan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain turut melibatkan KPDN.

“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen CSA pemilik stesen tersebut di bawah Akta Kawalan Bekalan.

“Untuk membuka stesen minyak, selain lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), juga perlu mempunyai lesen CSA, lesen barang kawalan berjadual,” katanya dalam sidang akhbar khas sempena pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026, hari ini.

Armizan berkata, sebagaimana kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF), tindakan diambil berdasarkan aduan terhadap stesen minyak berkenaan yang didakwa memanipulasi subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) menggunakan kelayakan pihak tertentu.

Beliau berkata, laporan polis juga telah dibuat dan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.

Katanya, sekiranya kesalahan disahkan selepas siasatan lengkap, perkara itu bukan sahaja melibatkan manipulasi rekod, malah subsidi yang diberikan kerajaan.

“Jadi, KPDN bergerak bersama dalam siasatan yang diketuai oleh PDRM ini. Kita tegas kerana BUDI95 melibatkan implikasi kewangan yang cukup besar.

“Ini komitmen kerajaan untuk membantu rakyat. Jadi, kita tidak mahu subsidi ini diseleweng oleh pihak tertentu.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap penyelewengan subsidi berkenaan dan boleh mengambil tindakan terhadap lesen CSA stesen minyak terbabit sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Sebelum ini, sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani susulan pengesanan transaksi mencurigakan disyaki menyalahgunakan subsidi.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, tindakan ini diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad masing-masing telah digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi. – UTUSAN

The post Manipulasi Budi Madani, Lesen stesen minyak boleh dibatalkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved