Letshanaa menang mudah, dua beregu lelaki turut mara

2 Sep 2026 • 8:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Letshanaa menang mudah, dua beregu lelaki turut mara

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita No. 1 negara, K. Letshanaa tidak perlu bermandi keringat untuk mara ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan Karen Feng dari England hanya dalam masa 16 minit pada Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Beraksi di peringkat 32 terbaik, Letshanaa yang menghuni ranking No. 31 dunia melakar kemenangan straight set ke atas Karen 21-6, 21-3.

Bagaimanapun, ujian sebenar menanti anak jati Selangor itu pada peringkat 16 terbaik, esok, apabila bintang No. 2 dunia, Wang Zhi Yi dari China menjadi penghalang terbesar hasratnya untuk ke suku akhir.

Letshanaa mengakui aksi berdepan wakil England tersebut merupakan satu perlawanan yang mudah, tetapi, sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepadanya menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan juga bulu tangkis.

“Gelanggang mempunyai sedikit tarikan angin (drift) dan ia agak mencabar kerana setiap hari berbeza. Masa kami uji gelanggang tempoh hari, ia agak berbeza, semalam berbeza dan hari ini lebih berbeza lagi.

“Jadi ia bergantung kepada hari tersebut dan juga melihat bagaimana ia akan
membantu saya di gelanggang esok,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Zhi Yi, Letshanaa berkata, seperti biasa menentang pemain utama merupakan satu perlawanan pembelajaran yang sangat baik untuknya.

“Dia adalah pemain yang sangat berpengalaman. Jadi saya berharap untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti semasa di Kejohanan Dunia dan kemudian untuk merapatkan lagi jurang mata atau berjuang untuk setiap mata,” ujarnya.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan profesional, Nur Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong menewaskan rakan senegara, Aaron Chia-Man Wei Chong 14-21, 21-15, 21-19 dalam masa 49 minit.

Pada pusingan seterusnya, beregu No. 29 dunia itu bakal berdepan satu lagi rakan seperjuangan, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang mengalahkan Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dari Jepun 16-21, 21-19, 22-20 dalam masa 54 minit.

Nasib berbeza dialami beregu muda negara, Arif Junaidi-Kang Khai Xing yang terpaksa akur kepada pasangan No. 5 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 11-21, 16-21 dalam masa 40 minit. – UTUSAN

The post Letshanaa menang mudah, dua beregu lelaki turut mara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved