
PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan pingat gangsa berada dalam genggaman, selepas mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.
Gandingan No. 4 dunia itu hanya memerlukan masa selama 34 minit untuk membenam beregu muda China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-11, 21-17 pada suku akhir di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Juara dunia edisi 2022 tersebut kini mendahului selesa ke atas Ke Yuan-Xiang Yi dengan rekod pertemuan 3-0.
Wooi Yik berkata, dia hanya mahu fokus kepada perlawanan demi perlawanan tanpa memikirkan tentang gelaran dunia.
“Kami datang ke sini tanpa mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri. Kami sudah bermain bertahun-tahun dan sering memikul tekanan untuk negara.
“Jadi, kali ini kami datang tanpa tekanan. Kami mahu berjuang sebagai ‘underdog’,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Menurut Wooi Yik, dia sebenarnya hadir ke India tanpa sebarang sasaran tertentu memandangkan persediaan mereka agak singkat sebelum ke Kejohanan Dunia.
Jelasnya, dia dan Aaron telah dipisahkan, begitu juga beregu Malaysia yang lain dan atas faktor itu mereka tidak melihat diri sendiri sebagai pilihan dalam edisi kali ini.
Sementara itu, Aaron turut senada dengan Wooi Yik dan berpendapat, selepas enam kali beraksi pada Kejohanan Dunia, tiada lagi yang istimewa di matanya pada penampilan mereka kali ini.
“Saya rasa kejohanan kali ini lebih kepada persediaan kami untuk kejohanan akan datang seperti Sukan Asia,” ujarnya.
Pada separuh akhir, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan jaguh No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Berdasarkan rekod pertemuan 1-3 bertemu Won Ho-Seung Jae, Aaron-Wooi Yik perlu mencari formula terbaik menumbangkan pasangan itu dalam usaha mereka merebut slot ke final. – UTUSAN
The post Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia appeared first on Utusan Malaysia.






