Letupan bom di Selatan Thailand: ICQS Rantau Panjang lengang

23 Aug 2026 • 4:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Letupan bom di Selatan Thailand: ICQS Rantau Panjang lengang
Suasana di ICQS Rantau Panjang lengang susulan 51 insiden keganasan yang berlaku secara serentak di Narathiwat, Yala dan Pattani, Thailand pada Sabtu malam.
Image from: Letupan bom di Selatan Thailand: ICQS Rantau Panjang lengang
Kelihatan juga perkhidmatan motosikal tambang tersadai kerana ketiadaan penumpang.

RANTAU PANJANG - Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini lengang dipercayai susulan 51 insiden keganasan yang berlaku secara serentak di Narathiwat, Yala dan Pattani, Thailand dalam tempoh dua jam pada Sabtu malam.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Ahad mendapati hanya beberapa kenderaan persendirian yang melintasi sempadan untuk ke negara jiran melalui ICQS berkenaan.

Keadaan itu dilaporkan bermula sejak pagi dan berlarutan hingga petang, manakala perkhidmatan motosikal tambang turut kelihatan tersadai tanpa permintaan penumpang.

**media[3623807]**

Seorang anggota keselamatan yang enggan dikenali memberitahu suasana pada Ahad berbeza berbanding sebelum ini apabila jumlah kemasukan kenderaan berkurangan secara mendadak.

"Biasanya kenderaan akan berpusu-pusu masuk ke Thailand, namun hari ini lengang.

"Saya tidak menolak kemungkinan disebabkan oleh insiden letupan bom yang berlaku malam tadi," katanya.

Menurutnya, kebiasaan suasana itu akan kembali pulih selepas seminggu insiden berkenaan berlaku.

Terdahulu, Polis Kelantan menasihatkan rakyat Malaysia terutama penduduk di negeri ini supaya menangguhkan sementara perjalanan ke negara jiran susulan 51 kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di tiga daerah di Selatan Thailand pada Sabtu malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perkembangan di negara jiran itu perlu diberi perhatian serius kerana insiden keganasan dilaporkan berlaku hampir setiap hari.

Sementara itu, seorang pengendali perkhidmatan motosikal tambang yang mahu dikenali sebagai Derahman, 48, berkata, insiden letupan bom memberikan kesan kepadanya dan rakan-rakan.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila orang ramai mengambil keputusan untuk tidak melakukan perjalanan ke Thailand buat sementara waktu.

"Pergerakan keluar masuk penduduk hari ini agak perlahan dan lengang. Kebanyakan mereka memilih untuk tidak mahu ke sana kerana beranggapan situasi masih belum selamat.

"Kalau yang ada hanyalah pelajar sekolah berulang-alik masuk ke negara ini," katanya.

Din, 46, pula berkata, dia dimaklumkan bapa saudaranya yang menetap di Sungai Golok bahawa kawasan masuk ke pekan itu mula diperketatkan.

Katanya, ia turut melibatkan pemeriksaan masuk kenderaan dari Malaysia ke Thailand melalui kompleks imigresen Sungai Golok.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved