
NARATHIWAT: Thailand sedang menilai dan berusaha mengekalkan keamanan di tiga wilayah selatannya, Narathiwat, Pattani dan Yala, selepas satu siri insiden keganasan serentak yang melibatkan pengeboman dan perbuatan khianat bermula lewat malam Sabtu.
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan memaklumkan pihak berkuasa Thailand akan terus memantau keadaan dengan mengarahkan semua unit menyegerakan siasatan dan langkah keselamatan demi melindungi orang ramai serta memulihkan keadaan secepat mungkin.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul turut mengadakan mesyuarat tergempar bersama barisan tertinggi keselamatan di Rumah Kerajaan pagi tadi bagi menilai gelombang letupan bom dan insiden membakar yang melanda tiga wilayah selatan semalam.
Mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira sejam itu dihadiri Menteri Pertahanan, Leftenan Jeneral Adul Boonthamcharoen; Panglima Tentera Darat, Jeneral Pana Klaewplodthuk; Ketua Staf Tentera Darat, Jeneral Chaiyapruek Duangprapat serta ketua-ketua agensi keselamatan lain.
Sebaik mesyuarat selesai, Anutin terus berlepas ke wilayah utara Nan bagi meninjau mangsa banjir serta memantau operasi pemulihan pasca banjir.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai mesyuarat keselamatan itu masih belum diumumkan.
Terdahulu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung dari 10.15 malam pada 22 Ogos hingga 5 pagi pada 23 Ogos.
Lebih 50 insiden, termasuk pengeboman, membakar pejabat pentadbiran, membakar tayar kereta dan meletupkan tiang elektrik serta kedai serbaneka.dilaporkan berlaku di tiga wilayah tersebut bermula bermula 8 malam pada Sabtu.
ISOC 4 menyeru orang ramai agar membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya terserempak dengan mana-mana individu, objek atau kenderaan yang mencurigakan.
Menjelaskan tindakan perintah berkurung itu, Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawud Phuengphak berkata, ia bagi membolehkan pihak berkuasa mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam terjamin sepenuhnya.
“Perintah berkurung ini memberikan kuasa penuh kepada anggota tentera untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan, termasuk penggeledahan, kawalan kawasan serta mengambil tindakan di bawah Akta Undang-Undang Tentera 1914.
“Langkah ini wajar dilaksanakan mengikut situasi semasa manakala pihak berkuasa awam diarahkan menyokong operasi ketenteraan tersebut bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk keluar, kebenaran mesti diperoleh terlebih dahulu daripada pihak tentera, polis, ketua kampung, atau pegawai pentadbiran tempatan,” tambahnya.
Sementara itu, Jurucakap ISOC, Kolonel Ekwarit Chobchupol menolak sepenuhnya laporan palsu yang mendakwa sebuah helikopter tentera melepaskan tembakan ke arah orang awam di Janae malam tadi.
Beliau mengesahkan aset udara itu hanya digerakkan bagi memantau situasi semasa.
Menurut ISOC, siri serangan yang didalangi oleh kumpulan pemberontak selatan itu bertujuan menyasarkan kemudahan infrastruktur serta harta benda awam dan swasta, termasuk menara komunikasi dan pondok persinggahan jalan raya.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk terus bertenang dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa, namun mengelakkan diri daripada menghampiri lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan forensik dijalankan.
Penduduk juga diingatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang objek mencurigakan.
The post Serangan serentak di selatan, Thailand perketat kawalan keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.






