Letupan Bom Di Selatan Thailand: Perlis Perketat Kawalan Sempadan

11 Nov 2026 • 8:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Letupan Bom Di Selatan Thailand: Perlis Perketat Kawalan Sempadan

KANGAR - Polis Perlis mempertingkatkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand susulan beberapa letupan bom di selatan Thailand, termasuk di tepi jalan di wilayah Satun yang mencederakan tiga murid sekolah.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, semua ketua polis daerah serta Pasukan Gerakan Am (PGA) telah diarahkan memperketat rondaan dan meningkatkan usaha mengumpul maklumat risikan, khususnya di pintu masuk utama negeri itu.

Beliau berkata, langkah berkenaan perlu diberi perhatian memandangkan kedudukan Perlis yang bersempadan dengan Thailand, selain mengambil kira kemungkinan insiden terbabit memberi implikasi terhadap keselamatan negeri.

“Kerjasama dan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa Thailand turut dipertingkatkan bagi membolehkan sebarang ancaman berpotensi dikesan dan ditangani lebih awal,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan tidak berasas.

Beliau memberi jaminan, pasukan polis negeri sentiasa komited dalam memastikan keselamatan Perlis terpelihara daripada sebarang ancaman.

Dalam kejadian di Satun, tiga pelajar yang menaiki sebuah van sekolah cedera selepas dua letupan bom berlaku berhampiran tiang elektrik di daerah Thung Wa, pagi Rabu.

Menurut Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand Wilayah 4 (Isoc 4), kedua-dua letupan berlaku kira-kira 500 meter dari pusat pemeriksaan keselamatan Thung Wa. 

Letupan pertama dilaporkan pada 6.13 pagi, manakala letupan kedua menyusul tujuh minit kemudian.

Van berkenaan membawa 11 pelajar dari Sekolah Wichienmatu di wilayah Trang.

Mangsa yang cedera terdiri daripada dua pelajar perempuan berusia 13 dan 17 tahun serta seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun. 

Mereka mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan muka sebelum dikejarkan ke Hospital Thung Wa untuk mendapatkan rawatan.

Isoc 4 mengecam serangan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab sehingga membahayakan nyawa orang awam yang tidak berdosa.

Sementara itu, beberapa letupan turut dilaporkan berhampiran tiang utiliti di tiga lokasi di wilayah Songkhla kira-kira 7 pagi Rabu. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Lokasi terlibat ialah Phang La di daerah Sadao, Na Thap di daerah Chana serta kawasan antara daerah Na Mom dan Chana.

Salah satu letupan menyebabkan sebuah tiang utiliti tumbang sehingga menghalang laluan trafik.

Pasukan Pemusnah Bom kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memastikan kawasan terbabit selamat, selain menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pembersihan ketika siasatan diteruskan.

Dalam perkembangan berasingan di Yala, lebih 20 individu bersenjata dilaporkan melancarkan beberapa serangan keselamatan dan kegiatan membakar harta benda di lapan lokasi pada malam Selasa.

Kumpulan terbabit dipercayai menyerbu Pejabat Perbandaran Yala di daerah Muang sebelum menahan seorang pengawal keselamatan serta beberapa petugas penyelamat sebagai tebusan.

Mereka kemudian membakar empat kenderaan milik kerajaan dan merosakkan sebahagian bangunan berkenaan.

Serangan lain turut melibatkan tindakan membakar tayar di jalan awam, memusnahkan kamera litar tertutup (CCTV) serta menyasarkan menara telekomunikasi dan komunikasi selular di daerah Muang dan Yaha. - Getaran, 11 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved